bisnes

Elak jadi mangsa tipu

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Usaha untuk mendapatkan sesuatu hartanah memerlukan banyak proses dan urusan dokumentasi yang kadang kala menggunakan khidmat mereka yang pakar dalam hal berkaitan undang-undang.

Ia tidak boleh dilakukan sendiri tanpa bantuan peguam yang bertanggungjawab untuk membantu menguruskan hal berkaitan pembelian atau penjualan rumah sehinggalah membantu pembeli atau penjual mempertahankan hak sekiranya berlaku sebarang masalah.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Sukor berkata, terdapat beberapa langkah boleh diikuti untuk memilih peguam hartanah terbaik bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada peguam yang tidak bertanggungjawab.

“Apabila ada rakan atau ahli keluarga yang mencadangkan anda seorang peguam, jangan terus percaya dengan saranan berkenaan. Sebaliknya, ambil masa untuk mengenali peguam itu secara peribadi.

“Luangkan masa untuk berjumpa dengan peguam berkenaan dan jangan hanya berhubung melalui aplikasi sosial saja kerana pandangan rakan anda mungkin tidak sama dengan pandangan anda terhadap seseorang,” katanya.

Menurutnya, elakkan memilih peguam yang mengendalikan terlalu banyak kes dalam satu masa kerana bimbang mereka tidak sempat memberi tumpuan terhadap kes anda.

“Jika terlalu banyak kes, mereka juga berisiko untuk menyeleweng dan tidak menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Selain itu, kita juga disarankan untuk mengelakkan daripada memilih peguam yang terlalu banyak perniagaan sampingan dalam satu masa.

“Ini kerana, ia dibimbangi mereka mungkin menggunakan duit anak guam untuk tujuan peribadi sekiranya berdepan masalah pusingan modal.

“Malah, elakkan juga memilih peguam yang menyerahkan semua urusan kes kepada kakitangan mereka semata-mata. Ini kerana, terdapat risiko penyelewengan yang dilakukan kakitangan itu tanpa pengetahuan peguam berkenaan.

“Pilih peguam yang turut sama menguruskan fail urusan kes anda dan tidak menyerahkan semuanya kepada kakitangan mereka,” katanya.

Salkukhairi berpendapat, sebaik-baiknya pilih peguam yang dikenali ramai sama ada kerap muncul di media massa atau selalu muncul di media sosial berkongsi sesuatu yang baik dan bermanfaat dengan masyarakat.

“Apabila selalu muncul di khalayak awam, sudah pasti mereka perlu jaga nama baik dan reputasi, sekali gus mereka ‘takut’ untuk menyeleweng kerana ia akan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka kelak.

“Selain itu, pilih juga peguam yang aktif dengan sesuatu persatuan, NGO atau pertubuhan yang memperjuangkan isu masyarakat kerana sudah pastilah mereka juga akan memperjuangkan nasib anak guam mereka dan melindungi hak serta kepentingan anak guam mereka,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga tidak seharusnya memilih peguam yang mengenakan caj yuran guaman murah saja.

“Pilihlah peguam yang komited dan anda yakin mampu menjaga hak dan kepentingan anda. Kos guaman urusan hartanah kebanyakannya adalah sama antara satu peguam dengan peguam lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 2:45am
d