bisnes

Prestasi positif

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) optimis mampu mencapai sasaran untuk meluluskan 9,500 jaminan dan pembiayaan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai RM4.7 bilion menjelang hujung tahun ini meskipun dalam situasi mencabar ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, syarikat masih berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran itu dipacu pelaksanaan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Landasan Kereta Api Pantai Timur dan Aliran Transit Ringan 3 (LRT 3) pada separuh kedua tahun ini.

“Kami yakin dapat merealisasikan angka itu meskipun kami hanya meluluskan 44 peratus daripada sasaran jaminan dan pembiayaan ditetapkan berikutan situasi ekonomi mencabar pada separuh pertama tahun ini,” katanya pada pelancaran Skim Perantis PKS CGC, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan.

CGC meluluskan 7,568 jaminan dan pembiayaan RM4.2 bilion tahun lalu manakala sehingga 30 Jun lalu, syarikat itu meluluskan 3,100 jaminan dan pembiayaan kepada syarikat tempatan bernilai RM1.5 bilion.

Pada masa sama, CGC melabur lebih RM500,000 bagi melaksanakan Skim Perantis PKS yang menyediakan peluang mengikuti latihan kemahiran kepada lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang masih tidak memiliki pekerjaan.

Melalui skim itu, CGC akan membantu lepasan terbabit dengan menyediakan peluang untuk bekerja dalam tempoh setahun di syarikat PKS terpilih di mana CGC membiayai 90 peratus kos manakala selebihnya ditanggung syarikat terbabit.

Beliau berkata, seramai 10 perantis dipilih untuk mengikuti latihan kerjaya bersama syarikat PKS terpilih dari seluruh negara yang terbabit dalam bidang seperti pembuatan berasaskan agro, pembinaan, perkhidmatan dobi, industri minyak dan gas serta teknologi hijau.

CGC sudah menyediakan lebih 444,700 jaminan dan pembiayaan kepada PKS bernilai lebih RM63.7 bilion sejak 45 tahun lalu dan sehingga kini, ia memiliki 21,000 pelanggan aktif membabitkan 16,000 pelanggan portfolio jaminan manakala bakinya (pembiayaan langsung) dengan nilai RM10 bilion.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 2:51am
d