bisnes

Siap 2021

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Fajarbaru Builder Group Berhad melancarkan projek hartanah kediaman sulungnya, Rica Residence@Sentul dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM280 juta.

Rica Residence@Sentul dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2021 dan ditawarkan pada harga permulaan RM600 kaki persegi.

Pengerusinya Datuk Ir Low Keng Kok berkata, Rica Residence@Sentul mempunyai 473 unit kediaman setinggi 39 tingkat bakal menjadi destinasi hartanah menarik di Sentul dan menerusi kemudahan infrastruktur lengkap pada masa ini menjadikan projek itu sebagai antara pilihan orang ramai.

“Sehingga kini, kami sudah mencapai 70 peratus jualan dan menjangkakan ia habis terjual menjelang tahun depan.

“Sambutan dan maklum balas positif diterima sungguh menggalakkan dan ia menunjukkan pasaran berkeyakinan terhadap produk hartanah yang dibangunkan Fajarbaru,” katanya di majlis pelancaran oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya dalam perancangan untuk melancarkan beberapa projek hartanah lain termasuk di luar negara.

“Kami mempunyai bank tanah di Puchong dan Melaka lebih kurang 56 hektar selain melancarkan projek di Puchong pada separuh kedua tahun depan.

“Syarikat mencari tanah berpotensi untuk dibeli di Lembah Klang dan setakat ini, segmen hartanah menyumbang 30 peratus pendapatan kepada syarikat,” katanya.

Rica Residence@Sentul terletak sejauh 150 meter dari projek KVMRT2 yang menghubungkan Sungai Buloh dan Cyberjaya. Dengan MRT2, destinasi utama seperti KLCC, TRX, Bandar Malaysia, Cyberjaya hanya terletak beberapa minit perjalanan tanpa tersekat dalam kesesakan jalan raya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya Eric Kuan Khian Leng berkata, pihaknya yakin pengangkutan awam menjadi tumpuan utama pada masa depan.

“Dengan siapnya projek MRT2 menjelang pertengahan 2022 serta siapnya projek hartanah Fajarbaru menjelang 2021, ia bakal memberi impak positif kepada pelabur kami.

“Faktor unik jualan projek juga terletak pada lokasi strategik yang hanya lima kilometer dari KLCC serta Lebuh raya Duke dan juga Duta Link, selain berdekatan dengan pemanduan singkat ke KL Sentral, Hartamas, Segambut dan Mont Kiara,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 2:44am
d