bisnes

Kurang kos kirim wang

Oleh Nabil Basaruddin

Kota Kinabalu: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil inisiatif memperkenalkan Projek Greenback 2.0 iaitu menumpukan usaha menggalakkan perkhidmatan pengiriman wang secara kos efektif serta mewujudkan ekosistem yang lebih telus dan cekap.

Pengarah Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang BNM Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan penggiat industri pengiriman wang bagi mengurangkan kos perkhidmatan oleh pihak bukan bank dan penyedia kewangan pada kadar bawah lima peratus.

Beliau berkata, Projek Greenback 2.0 bakal dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sabah pada awal tahun depan berdasarkan kepada kepadatan pekerja asing yang tinggi di negeri terbabit.

“Projek dua tahun itu sebelum ini pada 2015 menyaksikan Johor sebagai bandar pertama di Asia, Asia Barat dan Afrika menyertai barisan lokasi seperti Washington DC (Amerika Syarikat), Turin (Itali) serta Montreuil (Perancis) mengamalkan inisiatif itu.

“Menerusi projek ini, kita berhasrat menggalakkan ketelusan dan kecekapan dalam pasaran bagi pengiriman wang serta mengurangkan kos pengiriman dan memberi manfaat kepada golongan pekerja asing mengirim wang dengan selamat. Ia juga akan memberi manfaat kepada pekerja asing terdiri daripada warga negara Filipina, Indonesia dan Nepal,” katanya ketika ditemui di Karnival Kewangan Sabah, di sini.

Di Malaysia, kos pengiriman wang ke koridor utama seperti yang dinyatakan BNM dianggarkan antara empat dan tujuh peratus menggunakan penyedia perkhidmatan kiriman wang bukan bank manakala enam dan sembilan peratus menerusi bank.

Nik Mohamed Din berkata, statistik menunjukkan kos pengiriman wang di bandar ini agak tinggi, terutama dalam saluran pengiriman wang haram yang akan menjejaskan 24 peratus pekerja yang tinggal di negeri ini.

Menurutnya, Bank Dunia menetapkan sasaran untuk mengurangkan kos pengiriman wang kepada tidak lebih daripada lima peratus manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyasarkan pengurangan kos pengiriman purata kepada tiga peratus menjelang 2030.

“Kita boleh mencapai kejayaan melalui Projek Greenback 2.0 khususnya dengan penggunaan teknologi kerana terdapat 31 penyedia pengiriman wang berlesen di sini dan daripada jumlah ini, 13 pembekal mempunyai aplikasi dalam talian.

“Aplikasi ini akan memudahkan kehidupan pengguna dengan menyenaraikan penyedia kiriman wang yang memberikan kadar lebih baik kepada pelanggan dan dengan berbuat demikian, penyedia perkhidmatan itu akan memberi kadar kompetitif kepada para pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 9:05am
d