bisnes

Suntik RM20 juta

Oleh Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: SF Coffee, jenama minuman kopi di bawah kendalian Envictus International Holdings Limited (Envictus International) memperuntukkan perbelanjaan modal RM20 juta bagi proses penjenamaan, pembukaan cawangan baru serta pemasaran bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Pengerusi Envictus, Datuk Jaya J B Tan berkata, SF Coffee adalah penjenamaan semula dan diberi nafas baru daripada jenama San Francisco Coffee sebelum ini dan kini tampil dengan konsep baru yang lebih versatil serta urban.

Beliau berkata, setakat ini SF Coffee mempunyai 37 cawangan sedia ada dan merancang membuka tiga cawangan baru pada akhir tahun ini serta kira-kira 10 hingga 12 cawangan baru pada 2018.

“Trend dan gaya hidup lebih santai menjadikan minuman berasaskan kopi sentiasa mendapat perhatian, jadi kami optimis pilihan menjenamakan semula kepada SF Coffee adalah tepat pada masanya.

“Malah, kami juga merancang untuk mewujudkan lesen francais kepada mereka yang berminat menjadi sebahagian daripada pengendali SF Coffee, namun ia masih di peringkat perbincangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran wajah baru SF Coffee, semalam.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan konsep baru kedai kopi berkenaan yang direka khusus dengan suasana lebih segar kepada pelanggan di samping minuman kopi berkualiti tinggi.

Tan berkata, cawangan kedai kopi itu menawarkan antara 20 hingga 30 jenis minuman kopi sebagai pilihan kepada penggemarnya dan pihaknya mementingkan proses membru bagi setiap cawan kopi.

“Kami mendapatkan biji kopi terbaik dari seluruh dunia dan mencari bekalan bagi menghasilkan kopi luar biasa. Kami memanggang sendiri biji kopi bagi memastikan kesegaran dan melatih barista menjadi lebih cekap,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 8:48am
d