bisnes

Situasi kondusif

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan tarikan pelaburan ke Malaysia secara purata dalam keadaan positif tahun ini terutama faktor perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan positif oleh pihak asing.

Terdahulu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan ekonomi negara mampu bertumbuh 4.8 peratus pada tahun ini berbanding 4.5 peratus dalam unjuran awal yang dibuat berikutan pemulihan beberapa sektor utama yang menjadi penyumbang kepada Malaysia selepas berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, meskipun keadaan tarikan pelaburan ketika ini sukar untuk dijangkakan namun persekitaran Malaysia terutama di Kuala Lumpur mampu menarik perhatian pelabur terutama pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini secara berterusan.

Beliau berkata, persekitaran itu termasuk kemampuan rakyat Malaysia yang mampu berbahasa Inggeris, sekali gus memudahkan pelabur asing berkomunikasi dengan pekerja tempatan.

“Daripada segi prestasi pelaburan tahun ini, saya tidak boleh memberikan sebarang angka yang tepat daripada segi unjurannya, tetapi kami yakin dengan persekitaran pelaburan yang kondusif seperti peningkatan ekonomi negara, bahasa, kepelbagaian kaum dan kestabilan politik mampu menjadi daya tarikan pelabur ke Malaysia.

“Malah, keupayaan kita mempunyai pengangkutan awam yang baik dan menghubungkan pergerakan pengguna terutama di Kuala Lumpur turut menjadi salah satu faktor daya penarik mereka untuk terus melabur,” katanya selepas taklimat program membawa ahli daripada pelbagai dewan perniagaan asing menaiki Mass Rapid Transit (MRT), di sini, semalam.

Program itu dianjurkan MIDA dan disertai Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memberi taklimat mengenai pencapaian Malaysia dalam sistem pengangkutan awam terutama MRT yang dilihat mampu memberi kemudahan kepada 21 wakil Dewan Perniagaan Asing di Malaysia.

Azman berkata, program berkenaan bagi memberi pengalaman kepada wakil dewan perniagaan berkenaan merasai pengalaman menaiki MRT dan pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bertaraf antarabangsa.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 4:52am
d