bisnes

Semarak hasil permainan digital

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Media Prima Digital (MPD) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi menjalinkan kerjasama eksklusif dalam membangun dan memartabatkan industri permainan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rafiq Razali berkata, kerjasama itu bakal menarik minat pembangun dan pemain tempatan mahupun antarabangsa dalam menjalin kerjasama untuk menyemarakkan pembangunan permainan digital di Malaysia dan rantau ini.

“Ia bakal mengembangkan ekosistem dan merancakkan produktiviti sektor permainan digital dengan MPD yang bertanggungjawab dalam menilai dan menerbitkan permainan digital yang dipilih serta dibangunkan MDEC bersama penerbit tempatan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak, di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Rafiq dan Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng sambil disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood.

Beliau berkata, perjanjian itu diharap memberi inspirasi kepada pembangun permainan muda dan berbakat seterusnya memberi tunjuk ajar kepada mereka bagi mengembangkan kemahiran dan minat terhadap pembangunan industri permainan tempatan.

“Permainan video antara bidang digital yang rancak berkembang dan MPD bangga dapat turut sama terbabit dalam kerjasama ini,” katanya.

Perjanjian itu juga mengukuhkan kerjasama antara kedua pihak dalam penganjuran persidangan pembangunan permainan, acara anugerah serta Game Jam Level Up KL 2017 pada November ini.

Sementara itu, Yasmin berkata, MDEC sentiasa mencari peluang menjalinkan kerjasama rapat yang dapat menyuburkan industri kreatif.

“Kerjasama itu diharap menjadi permulaan kepada organisasi media lain untuk turut sama menerbitkan permainan video yang dihasilkan dan ini adalah langkah besar dalam menjadikan negara hab permainan serantau,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Media Prima Berhad (MPB) menjangkakan sumbangan segmen digital Kumpulan melalui MPD meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kamal berkata, sumbangan daripada segmen digital pada masa ini adalah di antara lima hingga 10 peratus dengan segmen tradisional seperti televisyen dan surat khabar menyumbang 75 peratus kepada pendapatan Kumpulan.

“Selain itu, kami menjangka perbelanjaan pengiklanan (ADEX) Kumpulan meningkat kepada tiga digit menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 11:14am
d