bisnes

Tesco anjur kempen #MyTesco,MyMalaysia

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia), meneruskan komitmen menganjurkan program koleksinya yang terbaru menerusi kempen #MyTesco,MyMalaysia.

Pengarah Pelanggannya, Vivian Yap berkata, kempen itu diadakan serentak sempena ulang tahun Tesco Malaysia ke-15, selain Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60, tahun ini.

“Kami teruja memperkenalkan kempen ini kepada pelanggan kerana ini program koleksi keempat selepas kejayaan kempen sebelumnya iaitu All Star Friends, Heroes and Friends dan KungFu Panda 3.

“Program ini bertujuan menjadikan Tesco destinasi pasar raya besar pilihan pengunjung yang menawarkan keseronokan ketika membeli-belah barang keperluan harian bersama keluarga,” katanya pada taklimat media kempen #MyTesco,MyMalaysia, di sini, semalam.

#MyTesco,MyMalaysia berlangsung selama 12 minggu bermula 17 Ogos hingga 8 November ini dan ia program kesetiaan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan apabila berbelanja.

Setiap pembelian bernilai RM30 ditawarkan dengan satu pelekat dan pelanggan perlu mengumpulkan 12 pelekat untuk mendapatkan satu set permainan blok My Tesco Store.

Tesco Malaysia bekerjasama dengan lebih 450 jenama untuk menawarkan Pelekat Bonus Tambahan apabila pelanggan membeli mana-mana produk jenama terbabit.

Pada masa sama, Tesco Malaysia menganjurkan Permainan Jelajah Realiti Maya dari 2 September hingga 14 Oktober 2017 kepada pelanggan mengenali fakta menarik mengenai Malaysia dan memenangi hadiah hebat.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 9:58am
d