bisnes

Buka cawangan baru di Klang

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Columbia Asia Sdn Bhd, syarikat penjagaan kesihatan swasta, terus berkembang maju di Malaysia dengan pembukaan hospital barunya di Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia dan Asia Tenggara, Kelvin Tan berkata, cawangan itu menjadikan Columbia Asia Hospital Klang hospital ke-29 milik Columbia Asia di rantau ini dan yang ke-12 di Malaysia.

“Klang kini semakin berkembang dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan. Oleh itu, bandar Klang memerlukan pusat kesihatan yang boleh diakses dengan mudah dan cekap dengan mengutamakan kepakaran, kualiti serta fasiliti penjagaan kesihatan,” katanya.

Sebagai hospital yang pakar dalam pelbagai disiplin perubatan, Columbia Asia Hospital Klang menawarkan rangkaian perkhidmatan perubatan yang komprehensif termasuk kardiologi, ortopedik, perubatan dalaman, obstetrik dan ginekologi (O&G), pediatrik, pembedahan umum, telinga, hidung dan tekak, oftalmologi, anestesiologi dan radiologi.

Columbia Asia Hospital Klang mempunyai lebih 100 jururawat dan kakitangan kesihatan serta pakar perubatan bertauliah.

Hospital serba moden terbabit dilengkapi dengan jabatan fisioterapi, tiga dewan pembedahan, makmal katerer jantung, bilik bersalin yang lengkap, pusat pembedahan ambulatori untuk pesakit luar, pusat jagaan rapi (ICU) dan perkhidmatan kecemasan 24 jam.

Pengurus Besar Columbia Asia Hospital Klang, Wong Wai Mun berkata, pihaknya juga mewujudkan Pusat Pemeriksaan Kesihatan bagi menggalakkan pesakit membuat pemeriksaan kesihatan, mengenal pasti risiko dan mengesan tanda awal penyakit.

“Tambahan pula, pusat berkenaan turut memberikan nasihat mengenai pengubahsuaian gaya hidup lebih sihat serta menggariskan pelan rawatan sesuai bagi meningkatkan kadar penyembuhan dan mengelakkan berlakunya komplikasi,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 9:12am
d