bisnes

IKEA tubuh pusat pengedaran pembekalan ASEAN di Malaysia

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: IKEA, peruncit perabot terbesar dunia berpangkalan di Belanda mengambil langkah strategik menubuhkan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau bagi ASEAN berpusat di negara ini dengan pelaburan bernilai RM908 juta.

Pusat itu bakal mengguna pakai struktur dan teknologi Pusat Pengedaran Serantau terbesar di Jerman serta menjadi antara 10 Pusat Pengedaran Serantau terbesar Kumpulan IKEA di peringkat global yang dapat menguruskan inventori sebanyak 9,500 unit penyimpanan stok (SKU) bernilai RM6.6 bilion setahun.

Penubuhan pusat itu membuktikan Malaysia sentiasa menjadi pasaran penting bagi IKEA dan lebih menarik lagi, negara ini mempunyai gedung IKEA paling banyak dikunjungi di seluruh dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek itu yang dihasilkan dari pembabitan berterusan dan fasilitasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah pencapaian signifikan kepada IKEA dan Malaysia.

Katanya, keputusan IKEA memilih negara ini sebagai pangkalan bagi menyokong peruncit di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan India mencerminkan kesesuaian strategik negara ini dalam menyokong strategi pertumbuhan keseluruhan IKEA di ASEAN.

“Penubuhan ini meningkatkan momentum ke arah menjadikan Malaysia sebagai Hab Pengedaran Serantau dan gerbang logistik pilihan ke Asia seperti digariskan dalam Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan serta Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR).

“Pengembangan teknologi dalam rantaian logistik dikenal pasti sebagai faktor utama dalam meningkatkan keupayaan penyedia perkhidmatan logistik ke arah mengukuhkan mekanisme fasilitasi perdagangan,” katanya dalam kenyataan,
di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:47am
d