bisnes

Menang emas 1kg

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur; Bank Rakyat komited meningkatkan nilai transaksi emas Ar-Rahnunya kepada 30 peratus sebulan dengan pengenalan kempen Emas 1 kilogram (kg) berlangsung selama setahun.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata, sejak kempen itu diperkenalkan 1 Ogos lalu, pihaknya menerima sambutan begitu menggalakkan.

Katanya, kempen berkonsepkan gadai dan menang itu diadakan bagi membolehkan masyarakat lebih mengenali dan memahami produk Ar-Rahnu Bank Rakyat.

“Menerusi kempen ini, 100 pemenang bertuah akan dipilih secara bulanan dan pemenang hadiah utama bakal memenangi satu kilogram jongkong emas yang akan diumumkan selepas kempen berakhir.

“Kami mahu masyarakat memahami bahawa mereka boleh menggunakan emas sebagai aset untuk dilaburkan bagi meningkatkan taraf ekonomi individu serta menjana ekonomi negara,” katanya pada sidang media pengenalan kempen Emas 1 Kilo, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Perniagaan Ar-Rahnu Bank Rakyat Dr Mokhrazinim Mokhtar dan Pengurusnya Mohamad Azwani Asa’d.

Kempen Emas 1 Kilo ini berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Julai tahun depan dan menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhannya RM500,000.

Nizam berkata, Bank Rakyat ingin mengubah persepsi masyarakat mengenai perkhidmatan pajak gadai Islam iaitu bukan hanya untuk mereka yang mempunyai masalah kewangan sebaliknya pelanggan boleh menyimpan aksesori emas dengan selamat serta jauh daripada unsur riba yang dilarang Islam.

“Perkhidmatan ini terbuka kepada golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Sementara itu, Mokhrazinim berkata, buat masa ini Ar-Rahnu mempunyai 600,000 pelanggan terdiri daripada Melayu (70 peratus) dan India (30 peratus).

Beliau berkata, 80 peratus pelanggan perkhidmatan Ar-Rahnu Bank Rakyat membabitkan pinjaman, manakala 20 peratus lagi menggunakan khidmat simpanan emas.

Setakat ini, ada 187 rangkaian Ar-Rahnu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menawarkan upah simpan serendah 65 sen bagi setiap RM100 nilai emas dipajak atau disimpan.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:49am
d