bisnes

Impak positif

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur:Jurang antara peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sentimen di peringkat domestik dijangka mampu dihubungkan serta dirapatkan dalam tempoh separuh kedua 2017 berdasarkan situasi semasa di negara ini.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata, pada masa ini masih terdapat sesetengah perkara yang masih tidak seiring atau berhubung antara kedua-dua aspek itu terutama dalam sentimen pengguna.

“Separuh kedua tahun ini dilihat akan berlaku peningkatan dalam semua aspek terutama melalui peningkatan dalam pertumbuhan gaji sejak dua bulan lalu ditambah kewujudan kerja lebih kukuh yang akan menjana sentimen pengguna lebih positif serta memberi impak kepada lebih banyak segmen selepas ini,” katanya, di sini.

Beliau berkata, sentimen pengguna diharap menunjukkan peningkatan bagi tempoh enam bulan kedua tahun ini di mana ia sebelum ini menerima impak daripada langkah pemberhentian yang berlaku sejak dua tahun lalu dan kadar pengangguran yang menurun kepada 3.4 peratus kini.

“Kewujudan kerja kini meningkat dengan kebanyakan kilang meningkatkan kapasiti penuh di mana terdapat perluasan operasi yang akan menjana lebih banyak eksport dan pekerjaan, sekali gus memberi impak kepada sentimen pengguna,” katanya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan 5.8 peratus dalam KDNK pada suku kedua 2017 itu lebih tinggi berbanding 4.0 peratus pada suku sama tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan ekonomi negara akan berkembang melebihi lima peratus bagi keseluruhan tahun ini dengan pertumbuhan kukuh dicatatkan pada separuh pertama 2017.

Menurutnya, prestasi positif dicatatkan pada separuh pertama tahun ini itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara dipacu pertumbuhan dalaman dan luaran mantap.

“Peningkatan pengeluaran global dijangka terus kekal untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang terutama pada separuh kedua tahun ini dan saya jangka eksport negara akan terus mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan KDNK melebihi lima peratus,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 9:25am
d