bisnes

Kuasai 65 peratus

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Sektor sarung tangan getah negara dilihat memiliki prospek masa depan cerah berdasarkan kelebihan Malaysia sebagai pengeluar utama sarung tangan dunia yang kini membekalkan kira-kira 65 peratus sarung tangan getah asli bagi pasaran global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara mencatatkan eksport sarung tangan bernilai RM13 bilion pada tahun lalu dan RM8 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

“Kita yakin negara akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar utama dunia dengan membekalkan lebih banyak sarung tangan getah asli dan sintetik pada masa depan,” katanya pada perasmian pusat ambulatori Top Glove Global Doctors (TGGD), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove), Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan Pengerusi Eksekutif Global Doctors, Datuk Dr Sharifah Fauziah.

TGGD adalah pusat ambulatori yang dilengkapi dengan rangkaian perkhidmatan merangkumi diagnosis, pemerhatian, perundingan, rawatan, campur tangan dan pemulihan atas dasar rawatan luar hospital.

Ia adalah inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Global Doctors bertujuan memberi perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan sekitar Setia Alam dengan memberi fokus kepada penjagaan kesihatan secara pencegahan.

Sementara itu, ekonomi Malaysia bagi tempoh enam bulan akan datang dijangka terus mencatatkan prestasi baik seperti mana separuh pertama tahun ini meskipun dalam keadaan tidak menentu pada masa ini.

Mustapa berkata, pertumbuhan keseluruhan dalam eksport, pelaburan, prestasi korporat menunjukkan angka positif dan turut ditambah melalui peningkatan jumlah syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurutnya, keseluruhan prestasi korporat adalah baik dengan bank mencatatkan pertumbuhan lebih sihat dengan kadar pinjaman tidak berbayar adalah rendah.

“Walaupun terdapat isu berkaitan pengangguran dalam kalangan golongan muda di negara ini namun ia boleh dianggap berada pada kadar rendah jika dilihat pada peringkat makro,” katanya.

Dalam masa sama, Mustapa melancarkan pusat kajian dan pembangunan (R&D) Top Glove yang terletak di Meru, Klang di mana pusat itu memberi fokus kepada pembangunan produk dan teknologi baru serta memajukan penambahbaikan produk.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 6:26am
d