bisnes

Skim ansuran 24 bulan

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang menawarkan pelan EasyPhone khusus untuk pelanggan prabayar dengan tawaran pelbagai telefon pintar melalui skim ansuran 24 bulan daripada nilai serendah RM74 sebulan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, EasyPhone untuk Prabayar adalah pelan eksklusif pertama seumpamanya dalam pasaran yang membolehkan pemilikan mudah telefon pintar untuk pengguna prabayar, selain menyediakan pengalaman pengguna yang hebat untuk Internet melalui telefon pintar.

“Sebelum ini, pelan ansuran ini hanya dapat dinikmati pengguna pascabayar, namun kini Celcom menjadi yang pertama dalam memperkenalkan pelan ansuran pembiayaan pembelian telefon pintar kepada pengguna prabayar.

“Melalui kerjasama dengan AEON Credit Service (M) Berhad, EasyPhone untuk Prabayar adalah perintis bagi pelan pembiayaan ansuran telefon pintar yang memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna serta menyediakan kemudahan yang mampu dimiliki serta keterhubungan berterusan apabila mereka mendaftar untuk membeli telefon pintar yang popular,” katanya pada majlis pelancaran EasyPhone, semalam.

Untuk menggalakkan penggunaan telefon pintar di negara ini, pelan ansuran terbabit memberi peluang kepada lebih ramai pengguna menikmati teknologi terkini dengan cara mudah menerusi pilihan lebih daripada 30 siri model berjenama termasuk Samsung, Huawei, Oppo, Xiaomi, iPhone 6 dan iPhone 7.

Selain ciri yang membolehkan pemilikan mudah alih telefon pintar tanpa kad kredit atau bayaran pendahuluan, pengguna turut bakal menikmati masa berbual bernilai sehingga RM30 untuk setiap pendaftaran.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 8:47am
d