bisnes

Capex RM7.1 bilion

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata) menyemak kembali peruntukan perbelanjaan modal (capex) menjadi kepada RM7.1 bilion pada tahun kewangan 2017 berbanding RM6.4 bilion yang dilaporkan sebelum ini sebagai langkah strategik memperkukuhkan operasinya di Bangladesh dan Indonesia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, keputusan untuk meningkatkan belanja modal itu adalah untuk memastikan pertumbuhan rangkaian serta liputan 4G di dua negara terbabit dibangunkan berikutan hanya menikmati servis 3G ketika ini.

Beliau berkata, usaha itu memperlihat usaha kumpulan dalam mempertingkat infrastruktur bagi meluaskan liputan 4G di kedua-dua negara terbabit di samping menjadikan operasinya berdaya maju dan terus memberikan keuntungan.

“Kebanyakan pelaburan akan tertumpu dalam pembangunan infrastruktur serta operasi di Bangladesh dan Pakistan kerana ia adalah pasaran berkembang serta mempunyai potensi pertumbuhan lebih baik.

“Pada masa ini, kita melihat peruntukan belanja modal ini membabitkan sekitar RM2.3 bilion bagi pasaran Indonesia dan Bangladesh meliputi RM1.06 bilion manakala Malaysia pula RM1.4 bilion,” katanya pada pengumuman prestasi suku kedua dan separuh pertama 2017 Kumpulan Axiata, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Axiata Vivek Sood.

Kumpulan Axiata merekodkan prestasi suku ke suku yang lebih kukuh, sekali gus memberikan kedudukan kewangan separuh pertama 2017 yang lebih baik di mana keuntungan selepas cukai meningkat 82.8 peratus kepada RM479.1 juta dari RM262 juta pada suku sebelumnya.

Selain itu, meskipun berada dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, perolehan kumpulan turut meningkat tiga peratus kepada RM6.1 bilion, iaitu pencapaian terbaik suku yang pernah diraih setakat ini.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 3:24am
d