bisnes

Sasar RM5 juta

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Shah Alam: MPH Bookstores Sdn Bhd menyasarkan transaksi jualan meningkat sehingga RM2 juta kepada RM5 juta sepanjang tempoh Bookerville Carnival SALE kali ini, berbanding RM3 juta yang dicatatkan pada karnival sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasinya, Donald Kee berkata, pihaknya juga berharap penganjuran program kali kelima yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) bermula 30 Ogos sehingga 3 September berkenaan dapat menyaksikan kehadiran sehingga 500,000 pengunjung.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran pengunjung ditetapkan didorong pemilihan lokasi strategik berhadapan Setia City Mall selain diadakan pada musim cuti persekolahan.

“Dengan menghimpunkan 200 jenama di dalam ruang pameran berkeluasan 30,000 kaki per segi, pesta buku mega ini menawarkan diskaun sehingga 70 peratus untuk pelbagai judul buku baru dan terlaris,” katanya selepas majlis pelancaran Bookerville Carnival SALE kelima, di sini, semalam.

Menurutnya, antara produk lain ditawarkan adalah alat tulis, alat permainan untuk pembelajaran, hadiah, gajet serta snek dan manisan.

Menariknya, pengunjung bakal menerima pelbagai tawaran lain termasuk Beli 1 Percuma 1, Istimewa Harian dan Nilai Hebat daripada harga serendah RM8.

Malah, pemegang kad MPH Readers’ Circle (MRC), CIMB Bank dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) turut berpeluang menikmati diskaun tambahan sepanjang pesta buku itu berlangsung.

“Dengan manfaat baru MRC, ahli tidak perlu lagi mengumpul dan menebus mata untuk menikmati penjimatan di MPH Bookstores. Bermula 1 Julai lalu, ahli MRC layak menikmati 10 peratus diskaun untuk semua barangan setiap hari dan sepanjang tahun di semua cawangan MPH seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 8:23am
d