bisnes

Portfolio bertaraf dunia

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata) menerusi cabang infrastrukturnya, edotco Group Sdn Bhd (edotco) memperkukuhkan kehadirannya di Pakistan dengan membeli 13,000 aset menara bernilai AS$940 juta (RM4.01 bilion) yang mana pengambilalihan itu dijadualkan siap pada suku keempat tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, dengan portfolio sedia ada melebihi 26,000 menara di enam negara, langkah itu menjadikan edotco sebagai pengendali menara pelbagai negara kedua terbesar dan syarikat menara bebas kelapan terbesar di dunia.

Bagaimanapun, katanya, syarikat tidak ada rancangan untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) buat edotco dan rancangan pembelian itu susulan kejayaan edotco mengambil alih Tanzanite Tower Private Limited (TTPL) serta 700 menara.

“Perkara ini membantu mewujudkan portfolio yang lebih seimbang bagi edotco membabitkan tiga saiz operasi penting iaitu Malaysia, Bangladesh dan Pakistan.

“Saya gembira dengan pertumbuhan dan prestasi edotco sehingga kini yang mendorong kami menjadikan edotco sebagai perniagaan bertaraf dunia melalui kecekapan dan skala operasi,” katanya pada sidang akhbar pengumuman perkembangan terkini edotco, di sini, kelmarin.

Pengambilalihan itu membabitkan kerjasama edotco dengan Dawood Hercules Corp Ltd (DH Corp) iaitu syarikat dari Pakistan dan menerusi usaha sama itu, DH Corp mengambil alih 45 peratus kepentingan dalam subsidiari edotco, edotco Pakistan Ptd Ltd.

Perjanjian itu dibiayai melalui gabungan hutang luar dan tempatan AS$600 juta (RM2.56 bilion) dan pembahagian ekuiti AS$174 juta (RM743.24 juta) oleh edotco dan AS$166 juta (RM709.07 juta) oleh DH Corp bagi kepentingan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan edotco Suresh Sidhu berkata, perjanjian itu meningkatkan bahagian pasaran syarikat melebihi 30 peratus di Pakistan.

“Pada masa ini, ada 40,000 menara telekomunikasi di Pakistan bagi menampung keperluan 200 juta populasi dan kadar penembusan data dan mudah alih, masing-masing sebanyak 73 peratus dan 24 peratus.

“Situasi ini mencerminkan pertumbuhan dalam industri telekomunikasi di Pakistan kekal kukuh. Selain Malaysia, edotco juga beroperasi di negara itu, Sri Lanka, Bangladesh, Myanmar dan Kemboja,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 10:57am
d