bisnes

Muktamad Oktober ini

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memuktamadkan cadangan piawaian peraturan untuk pelaksanaan proses Kenali Pelanggan Anda elektronik atau e-KYC bagi transaksi kiriman wang menjelang Oktober ini selepas menerima maklum balas daripada peserta industri.

Penolong Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian berkata, keperluan sedia ada bagi pengesahan bersemuka untuk menerima pelanggan baru digugurkan dalam kalangan syarikat yang mendapat kelulusan untuk melaksanakan e-KYC susulan daripada langkah terbabit.

Menurutnya, BNM memastikan inovasi itu tidak menjejaskan kewajipan bagi mematuhi peraturan dan undang-undang serta menjaga kepentingan pelanggan sah.

“Tindakan mana-mana firma menjejaskan ketelusan sistem kewangan akan dikendalikan dengan satu tindak balas pengawalseliaan kuat daripada BNM,” katanya dalam ucaptama sempena Persidangan Perniagaan Perkhidmatan Wang Asia Pasifik 2017 (MAPC 2017) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB), Ramasamy Veeran.

Beliau berkata, perubahan pengawalseliaan untuk memudahkan inovasi masih kekal penting bagi BNM dan pihaknya terus menyediakan persekitaran yang menggalakkan inovasi dalam industri kewangan termasuk industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB).

“Pengawalseliaan Sandbox diperkenal tahun lalu inovasi bagi ​​​​​​​pendekatan pengawalseliaan dan ia membantu kami dengan membendung risiko luaran hadir bersama inovasi,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 2:56am
d