bisnes

Letak sasaran RM6.5b

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), agensi promosi pelaburan Selangor tidak akan menetapkan sasaran pelaburan yang tinggi untuk dicapai negeri itu pada tahun depan berikutan situasi ekonomi yang dijangka terus mencabar dan tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, pihaknya lebih cenderung mengambil pendekatan terbabit dalam menetapkan sasaran pelaburan tahunan negeri itu seperti sasaran ditetapkan pada tahun ini iaitu RM6.5 bilion.

“Kami masih terus memantau situasi ekonomi semasa sebelum menetapkan sebarang sasaran pelaburan pada tahun depan seperti tahun lalu di mana ia menyaksikan kami berjaya menjana pelaburan melebihi sasaran RM6 bilion iaitu kepada RM7.8 bilion,” katanya selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor-Asean 2017, semalam.

Acara itu adalah komponen kedua bagi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2017 di mana lebih 20 speaker tempatan dan antarabangsa berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai peluang perniagaan di Asean serta melakukan pelaburan di Selangor sebagai pintu gerbang kepada rantau terbabit.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Majlis Eksekutif Kanan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim.

Pada tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion dalam sektor pengilangan membabitkan RM3.3 bilion bagi pelaburan langsung asing (FDI) dan RM4.5 bilion bagi pelaburan langsung domestik (DDI) dengan 242 projek.

Jumlah pelaburan itu adalah peningkatan daripada sasaran disemak semula agensi terbabit iaitu RM6 bilion pada tahun lalu dengan kluster peralatan pengangkutan yang merangkumi segmen aeroangkasa dan automotif menyumbang jumlah pelaburan paling tinggi iaitu RM2.8 bilion pada tahun lalu, diikuti makanan dan minuman (RM1 bilion).

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha mencapai sasaran pelaburan ditetapkan pada tahun ini iaitu sebanyak RM6.5 bilion, sekali gus terus menjadi penyumbang utama kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, Invest Selangor mengambil beberapa langkah aktif dalam memastikan mereka mampu mencapai sasaran ditetapkan melalui fokus kepada lima kluster utama iaitu elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat, dan peralatan pengangkutan.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 2:14am
d