bisnes

Domino's Pizza kian 'menggegar' [METROTV]

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

DOMMAL Food Services Sdn Bhd, pengendali dan pemegang francais utama bagi jenama Domino’s Pizza di Malaysia yakin mampu mencapai pertumbuhan jualan sehingga dua digit bagi 2018 didorong oleh pembukaan cawangan baru.

Pengurus Besar Kanan Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman berkata, tahun lalu pihaknya menepati sasaran apabila mencapai pertumbuhan dua digit dengan peningkatan dari aspek jualan sehingga 19 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun depan, kami berhasrat menambah antara 20 hingga 30 cawangan agar rancangan untuk mempunyai 300 cawangan menjelang 2020 dapat dicapai.

“Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor masih menjadi kawasan tumpuan selain bakal mengembangkan perniagaan ke Sabah dan Sarawak dengan membuka lima cawangan di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas pertandingan pembuat piza terpantas Domino’s, semalam.

Katanya, Dommal Food Services bakal memperuntukkan purata perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM500,000 bagi setiap unit.

Bagaimanapun, katanya, angka terbabit mungkin bertambah untuk setiap cawangan di sekitar Lembah Klang, bergantung kepada infrastruktur yang bakal dibangunkan.

Mengulas mengenai pertandingan berkenaan, Shamsul berkata, ia diadakan untuk mengiktiraf kepakaran dan kemahiran pengurusan masa pembuat piza Domino’s di peringkat global.

“Membuat piza di Dominos’s memerlukan teknik dan latihan rapi untuk menyediakan piza sempurna agar menepati 10 kriteria termasuk memenuhi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada pertandingan itu, Abdillah Abdul Shukor muncul sebagai pemenang dengan catatan masa satu minit 33 saat, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan bakal mewakili Malaysia di peringkat Asia Pasifik pada Februari tahun depan.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 9:18pm
d