bisnes

Rahsia 30 juta Lelong.my

Oleh Asrizal Aris

MEMENUHI selera pelbagai bangsa dan menawarkan pengalaman menarik buat pengguna antara rahsia Lelong.my yang melaksanakan lebih 30 juta transaksi sebulan.

Perintis e-dagang atau gedung dalam talian tempatan itu kini mempertingkatkan jenamanya dengan memperkenalkan identiti baru seiring ulang tahun penubuhannya ke-20, tahun depan.

Sebagai permulaan, laman web Lelong.my akan memaparkan penampilan baru yang lebih menarik, dinamik dan segar tetapi masih mengekalkan identiti Malaysia yang ada sebelum ini.

Pengarah Urusan Lelong.my, Richard Tan, berkata sebagai jenama tempatan, pihaknya berbangga dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju e-dagang yang utama secara konsisten.

"Konsep 'Kita 1Malaysia' diterapkan kepada pengguna yang berbilang kaum di negara ini sebagai strategi mengukuhkan jenama kami sejak 1998.

"Usaha itu berterusan dengan penganjuran Karnival Meriah Malaysia Day Bersama Lelong.my yang diadakan dua hari di ruang legar pejabat Lelong.my di Puchong, bermula semalam," katanya ketika ditemui di karnival itu, di Puchong.

Menurutnya, karnival itu juga diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dan 60 tahun kemerdekaan negara.

"Sasaran kami sekarang supaya generasi baru lebih mesra dengan jenama kami dan menjadikan ia satu komuniti yang dipercayai untuk berbelanja,” katanya.

Karnival Sabtu dan Ahad diadakan dengan kerjasama Kadokawa Gempak Starz.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 4:34pm
d