bisnes

RHB Insurance manfaatkan teknologi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Premium bertulis kasar insurans kesihatan RHB Insurance Berhad dijangka melepasi RM100 juta tahun ini, naik daripada RM53 juta pada separuh pertama tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kong Shu Yin berkata, sasaran itu akan dicapai dengan memanfaatkan teknologi digital termasuk menjalin perkongsian dengan aplikasi penjagaan kesihatan dalam talian BookDoc.

“Dengan memanfaatkan teknologi digital, RHB Insurance berhasrat mengembangkan portfolio insurans kesihatannya sebagai arus pendapatan utama ketiga selain portfolio insurans kebakaran dan motor yang mencapai kejayaan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian perkongsian dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc Datuk Chevy Beh, semalam.

BookDoc ialah syarikat pemula niaga teknologi penjagaan kesihatan tempatan yang menjalin perkongsian dengan lebih 50 peruncit dan penyedia perkhidmatan kesihatan dari 12 negara.

Ia menawarkan kepada pengguna yang mencapai had dan sasaran purata-langkah-harian dengan diskaun bagi produk dan perkhidmatan setiap bulan.

Menurutnya, dengan perkongsian bersama BookDoc, ia bukan saja membantu mempromosikan produk insurans syarikat itu, malah menggalakkan pengguna untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ini akan membolehkan kami menginsurans pelanggan yang sihat pada premium rendah dan sudah tentu mengurangkan tuntutan perubatan,” katanya.

Katanya, RHB Insurance menggandakan bahagian pasarannya dalam segmen insurans kesihatan dan menjadi penginsurans kesihatan keempat terbesar dalam kalangan syarikat insurans am, meningkat daripada kedudukan kelapan pada dua tahun lalu.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:05am
d