bisnes

GTG lahir usahawan Bumiputera global

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Program Gate To Global (GTG) dijangka menghasilkan usahawan Bumiputera bertaraf global dengan produk unggul yang boleh menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, program itu bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kaedah pembangunan produk dan penjenamaan, strategi penembusan pasaran halal global termasuk bantuan pembiayaan modal.

“Melalui usaha ini, produk usahawan Bumiputera dinaik taraf menjadi usahawan global dengan produk diberikan sentuhan unik dan berdaya saing untuk dieksport,” katanya selepas merasmikan seminar pertama program GTG, di sini.

Beliau berkata, program dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corp dan Idea Institute itu memberi penekanan kepada usahawan dalam kluster makanan dan minuman (F&B) serta produk barangan pengguna mudah laris (FMCG).

Menurutnya, potensi pasaran usahawan Bumiputera negara gagal diterokai sepenuhnya atas pelbagai faktor seperti kekurangan pengetahuan mengenai akses pasaran global, modal pusingan dan kapasiti pengeluaran serta penjenamaan produk yang tidak mencapai piawaian antarabangsa.

“Dengan produk dihasilkan, kami mahu usahawan terbabit menawan pasaran halal dunia yang mempunyai potensi luas kerana ketika ini hanya 23 peratus permintaan pasaran itu dapat diisi,” katanya.

Katanya, melalui program ini, MARA menyasarkan sekurang-kurangnya 100 unit stok (SKU) baru dieksport menjelang tahun depan.

Beliau berkata, sehingga kini, MARA melahirkan lebih sejuta usahawan Bumiputera dengan 200,000 menerima pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan bagi membantu mereka terus berkembang.

Menurutnya, hampir 700,000 usahawan lagi dibangunkan melalui pelbagai program latihan, pembangunan standard perniagaan, teknousahawan serta pemasaran dan penjenamaan.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 1:43am
d