bisnes

Fahami Industri 4.0

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan pelbagai program dalam usaha mempertingkatkan pemahaman usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mengenai Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) menjelang tahun depan.

Langkah itu seiring dengan hasrat kerajaan khususnya MITI untuk mula mengguna pakai elemen Industri 4.0 kepada peserta industri pada 2018.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, pada masa ini, tahap pemahaman PKS mengenai Industri 4.0 masih rendah, sekali gus menyebabkan tahap pelaksanaannya juga rendah.

“Kita berharap prasarana ke arah Industri 4.0 dapat disediakan oleh pemain industri pada tahun depan.

“Justeru, kerajaan melalui MITI akan melaksanakan pelbagai seminar bagi menerangkan kepentingan Industri 4.0 kepada semua usahawan terutama PKS di seluruh negara supaya mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, PKS di negara ini masih berada pada tahap 3.0 iaitu penggunaan komputer saja berbanding negara luar seperti Jepun yang sudah mencapai 5.0 iaitu perniagaan bersama komuniti.

“Kami tidak mahu 907,065 PKS di seluruh negara terus ketinggalan kerana tidak memahami apa itu tahap 4.0.

“Bagi memberi kefahaman kepada semua PKS mengenai tahap 4.0 atau pengurusan yang cekap, kami akan mengadakan seminar kepada mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kilang Wau Tradisi Enterprise di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah MITI Wilayah Timur Nik Mohd Fahim Muhaimin dan Pengarah Urusan Wau Tradisi Enterprise Mohd Anazim Adnan.

Kilang Wau Tradisi Enterprise mengeluarkan rempah ratus sejak 50 tahun lalu dengan pendapatan tahunan RM1.2 juta.

Menurutnya, usahawan PKS perlu melangkah ke hadapan bagi mengelakkan ketinggalan dan menyasarkan tahun depan, semua usahawan akan mencapai tahap pengurusan yang cekap.

Pada masa sama, beliau berkata, kebanyakan usahawan di Kelantan berniaga sehingga empat generasi dan ia perlu menjadi contoh kepada usahawan dari negeri lain.

“Kita mahu perniagaan turun temurun ini dikekalkan dan berharap menjadi contoh kepada usahawan dari negeri lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 2:45am
d