bisnes

Perkongsian kali keenam

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malindo Air menjalin kerjasama perkongsian antara syarikat untuk kali keenam dengan Xiamen Air, syarikat penerbangan yang menjadi lambang kepada pembangunan industri penerbangan di China.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata, menerusi perkongsian terbaru itu, ia membolehkan penumpang Xiamen Air untuk menikmati perjalanan lancar dengan kemudahan tempahan tunggal di kedua-dua syarikat penerbangan, Xiamen Air dan Malindo Air.

Beliau berkata, setakat ini, Malindo Air beroperasi di lebih 46 bandar di 16 negara termasuk di 13 lapangan terbang utama di Malaysia menerusi hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami gembira mempunyai Xiamen Air sebagai rakan kongsi baru kerana selain daripada rangkaiannya yang luas sehingga 350 rangkaian antarabangsa dan domestik di seluruh Asia, Eropah, Amerika Utara dan Oceania, syarikat penerbangan itu juga menekankan jaminan keselamatan dan penambahbaikan perkhidmatan sebagai syarikat penerbangan premium.

“Kami berhasrat mengadakan lebih banyak perkongsian antara syarikat penerbangan untuk menyediakan sambungan yang lebih baik bagi pelancong di seluruh dunia untuk transit di KLIA dan melawat Malaysia.

“Penumpang teruja dengan produk dan perkhidmatan kami dan mahu melayani dunia melalui inisiatif perkhidmatan antara syarikat penerbangan yang kami laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Xiamen Air yang beroperasi sejak 1984 berpangkalan di bandar Xiamen dalam wilayah Fujian adalah syarikat penerbangan pertama China yang beroperasi menggunakan sistem operasi moden.

Malah, syarikat penerbangan itu terus berkembang menjadi kebanggaan rakyat China apabila meraih Anugerah Kualiti China iaitu anugerah tertinggi dalam sektor kawalan kualiti dan syarikat pertama dalam industri perkhidmatan diberikan pengiktirafan itu.

Setakat ini, Malindo Air mempunyai kerjasama perkongsian antara syarikat penerbangan bersama All Nippon Airways (ANA) dari Jepun, Turkish Airline dari Turki, Qatar Airways dari Qatar, Etihad Airways dari Emiriah Arab Bersatu dan Omar Air dari Oman.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 3:07am
d