bisnes

MAHB lancar FlyKLIA

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melancarkan FlyKLIA, portal kembara secara dalam talian yang akan menjadi platform interaksi dan perkongsian pengalaman, sekali gus menjadi panduan kepada pelancong yang mahu berkunjung ke Malaysia.

Portal kembara itu diperkenalkan bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna di lapangan terbang di Malaysia dengan mewujudkan satu platform bagi kedua-dua kategori pelancong-perniagaan dan percutian untuk berkumpul serta berkongsi pengalaman mereka.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata, FlyKLIA adalah sebahagian daripada inisiatif kumpulan pengendali lapangan terbang itu untuk menjadi lebih terdorong ke arah penggunaan teknologi dalam memenuhi keperluan generasi teknologi maklumat (IT) yang bijak.

Beliau berkata, lebih ramai pelancong kini mencari pengalaman unik dan permata tersembunyi di Malaysia yang dapat memberi serta menghasilkan gambar yang menarik untuk dikongsi di laman sosial masing-masing.

“Kami yakin dengan kelebihan ditawarkan FlyKLIA, ia akan menjadi satu daripada beberapa platform untuk MAHB dalam membantu memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelancong.

“Sebagai antara kumpulan pengendali lapangan terbang paling berjaya di dunia, kami akan terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada bukan saja penumpang, malah kepada komuniti lapangan terbang.

“Rakan kongsi syarikat penerbangan kami turut akan mendapat manfaat daripada portal perjalanan secara dalam talian ini dengan memperoleh maklum balas daripada kalangan pengguna dalam komuniti FlyKLIA,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

FlyKLIA dilancarkan pada forum pembangunan rangkaian dan industri penerbangan, World Routes 2017 di Barcelona, Sepanyol pada 23 hingga 26 September lalu.

Portal berkenaan turut dipertontonkan kepada pengunjung tapak pameran MAHB sepanjang World Routes 2017 berlangsung dan pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman dari portal kembara itu.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 2:49am
d