bisnes

Produk Ar-Rahn dapat sambutan

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Berhad (Bank Muamalat) menerusi anak syarikatnya, Muamalat Venture Sdn Bhd (MVSB), menyasarkan pelaburan terkumpul dalam platform akaun pelaburan (IAP) dikendalikan IAP Integrated Sdn Bhd (IAP) antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.

MVSB memperkenalkan produk Ar-Rahn dengan pelaburan RM20 juta yang mula dilaksanakan bagi tempoh enam bulan bermula 13 Oktober 2013 dengan pulangan 7.50 peratus setahun kepada pelabur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Redza Shah Abdul Wahid berkata, sasaran itu ditetapkan memandangkan produk Ar-Rahn mendapat sambutan luar jangka apabila berjaya dilanggan lebih 1.20 kali.

Beliau berkata, sehingga kini, Ar-Rahn menerima 22 pelabur dengan 20 daripadanya terdiri daripada pelabur runcit yang terbabit dalam perniagaan seperti pengangkutan, sewaan komputer dan koperasi.

“Malah, daripada jumlah pelabur itu, majoriti daripadanya disertai golongan bukan Islam, sekali gus menunjukkan produk pelaburan Islam semakin mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak serta mampu memberikan pulangan menguntungkan.

“Selain itu, penyenaraiannya yang dibuat melalui platform secara dalam talian seperti IAP memberi kemudahan kepada pelabur untuk mengetahui kelayakan mereka untuk menyertai pelaburan itu dengan pantas,” katanya pada majlis memeterai kerjasama antara MVSB dan IAP, semalam.

Hadir sama Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Dr Mohamed Munir Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif IAP Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Sementara itu, Mohamed Munir berkata, berikutan permintaan tempahan pelaburan Ar-Rahn yang melebihi jangkaan, Bank Muamalat bakal melaksanakan pusingan pelaburan baru dalam produk berkenaan selepas tempoh enam bulan akan datang.

Menurutnya, produk berkenaan juga menawarkan pulangan tinggi untuk tempoh paling pendek dalam kalangan syarikat teroka dalam IAP.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 2:57am
d