bisnes

Tambah bank tanah

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan terus meneroka pasaran hartanah tempatan yang berpotensi tinggi bagi memberi pulangan kepada pemegang unit pelaburannya termasuk menambah saiz bank tanah untuk dimajukan pada masa depan.

Ketika ini, PHB mempunyai 404.6 hektar tanah strategik dan bernilai tinggi di seluruh negara yang tersedia untuk dibangunkan.

Malah, tahun ini, PHB terus meneroka bank tanah baru dengan sasaran keluasan yang tidak diumumkan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, antara lokasi strategik bank tanah yang dimiliki syarikat itu di Bangsar dan kini dalam proses pembinaan tujuh menara pejabat yang akan dibangunkan secara berperingkat.

Beliau berkata, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek berkenaan mencecah RM5 bilion dan menara pertama sudah mula dibangunkan sejak pertengahan tahun ini yang dijangka siap pada 2021.

“Sejak penubuhannya, PHB aktif meningkatkan pemilikan hartanah komersial menggunakan dua strategi iaitu pembelian aset siap dibina dan pembangunan projek hartanah yang dijalankan di lokasi strategik serta berpotensi tinggi di seluruh negara.

“Pada tahun ini saja, selain projek pembangunan di Bangsar, PHB sudah memulakan beberapa projek pembangunan baru iaitu pembangunan pusat beli-belah Mayang Mall di Terengganu, Hospital Pakar KPJ Damansara dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur,” katanya selepas majlis pelancaran 500 juta unit tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pelancaran unit tambahan AHB itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera untuk berkongsi pemilikan benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi utama di seluruh negara.

Menerusi penambahan unit berkenaan, saiz dana AHB kini berkembang kepada empat bilion unit atau bersamaan RM4 bilion yang hanya boleh dimiliki pelabur Bumiputera.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 3:25am
d