bisnes

MIDA bantu pertumbuhan ekonomi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka menjadi lebih penting pada tahun-tahun akan datang dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang inklusif dan membina imej negara sebagai pusat aktiviti global serta berteknologi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, organisasi yang sudah beroperasi sejak 1967 itu juga diyakini mampu membantu negara mencapai status negara maju.

“Kini, Malaysia bergerak memasuk era Industri 4.0 iaitu pendigitalan dan pengautomasian sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Dianggarkan peningkatan 20 peratus dalam pelaburan digital berpotensi melonjakkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 1.4 peratus bagi Malaysia,” katanya dalam kata-kata aluan pada buku program sambutan ulang tahun ke-50 MIDA.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke majlis itu selain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi MIDA Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.

Najib berkata, pembangunan modal insan yang sejajar dengan keperluan kemahiran Industri 4.0 juga akan membantu mengekalkan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 9:57am
d