bisnes

Pangkalan serantau

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia terus berada dalam kedudukan baik untuk menjadi pangkalan operasi serantau dan global untuk syarikat multinasional (MNC).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak negara memperkenalkan struktur dan insentif Hab Utama (PH) pada 2015, lebih banyak MNC memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai PH.

Katanya, setakat Ogos 2017, InvestKL saja menarik 71 MNC menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab serantau membabitkan pelaburan diluluskan lebih RM10 bilion dan menawarkan 10,000 peluang pekerjaan.

“Menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), lebih 27 projek PH diluluskan setakat ini yang dijangka memberi impak signifikan kepada ekonomi Malaysia untuk 10 tahun akan datang.

“Selain itu, negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS) turut membuka hab serantau di Malaysia,” katanya di majlis pelancaran Ibu Pejabat Honeywell Asean, di sini, semalam.

Hadir sama, Duta AS di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, Presiden Honeywell Asia Tenggara, Briand Greer, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amamshah.

Mustapa berkata, dengan pembukaan operasi serantau Honeywell di negara ini, menambah lagi jumlah MNC AS yang mengukuhkan hab mereka di Kuala Lumpur iaitu kira-kira 21 MNC.

Honeywell adalah syarikat penyedia rumusan termaju yang mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Briand Greer berkata, pihaknya melabur lebih kurang AS$500 juta di Malaysia sejak 10 tahun lalu untuk meluaskan operasi di negara ini dan mempunyai 1,500 kakitangan.

“Honeywell melabur kira-kira AS$400 juta bagi projek di seluruh ASEAN sejak 12 bulan ini dan menyasarkan pertumbuhan syarikat sebanyak 15 peratus tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 5:58am
d