bisnes

UMW Toyota peruntuk RM500,000 TEY 2017

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) memperuntukkan RM500,000 bagi menganjurkan program di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Toyota Eco Youth 2017 (TEY 2017).

Acara tahunan yang dilancarkan Mac lalu menyaksikan penyertaan 12 sekolah menengah membabitkan 72 pelajar dan 24 guru di seluruh negara.

Pengarah Operasi Sokongan Kumpulan UMW Toyota Motor Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, syarikat melabur lebih RM6.4 juta keseluruhannya sejak dimulakan pada 2001 yang memberi manfaat kepada lebih 235 sekolah dan 1,800 pelajar.

“Sejak dianjurkan 17 tahun lalu, penyertaan dalam kalangan pelajar lebih matang apabila mereka bukan saja melaksanakan kajian mendalam untuk penjagaan alam sekitar, malah menarik penyertaan komuniti setempat bagi kajian masing-masing,” katanya pada majlis penutup TEY 2017, di sini, semalam.

TEY adalah program anjuran UMW Toyota Motor bagi memupuk golongan muda atau pelajar terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dan mencari penyelesaian bagi menjadikannya lebih mapan melalui pembentangan projek berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, TEY 2017 menampilkan tema Mengurangkan Jejak Karbon, perkara penting yang menjadi penyumbang kepada kejadian pemanasan global dan perubahan iklim di seluruh dunia.

“Tema dipilih ini selari dengan enam cabaran yang diberi penekanan dalam Cabaran Persekitaran Global Toyota 2050 di mana ia diharap membantu syarikat mengekalkan pembangunan persekitaran mapan dengan kerjasama masyarakat setempat,” katanya.

Majlis itu menyaksikan UMW Toyota Motor mengumumkan barisan pemenang TEY 2017 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh, Perak dipilih sebagai pemenang pertama dan membawa pulang wang tunai RM10,000 diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Lopeng Tengah, Miri (tempat kedua, RM7,000) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Dungun (tempat ketiga, RM5,000).

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 8:44am
d