bisnes

Syor khidmat ICT bebas GST

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mampu dimiliki dalam usaha meletakkan negara ini sebagai peneraju era digital, kata

Persatuan Kebangsaan Teknologi Komunikasi Maklumat Malaysia (PIKOM) yakin keperluan rakyat mempunyai lebih banyak alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mampu milik dapat meletakkan negara sebagai peneraju era digital.

PIKOM dalam kenyataan berkata, pihaknya menggesa kerajaan dalam Bajet 2018 menyediakan perkakasan dan perisian pada harga berpatutan dalam usaha mewujudkan negara berpendidikan dan bermaklumat selari dengan era digital baru.

“Kami mencadangkan produk dan perkhidmatan ICT bebas daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan terutama untuk barang mahal seperti komputer riba dan telefon pintar.

“Malah, pelepasan cukai tahunan RM3,000 perlu diberikan untuk komputer peribadi, tablet dan telefon pintar,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Persatuan itu menggesa kerajaan memperkenalkan semula Skim Komputer Peribadi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan mengurangkan harga jalur lebar agar setanding negara lain.

Mengulas lanjut, PIKOM berharap Bajet 2018 dapat merangsang penggunaan lebih tinggi penggunaan dan pelaksanaan ICT dalam perkhidmatan kerajaan bagi meningkatkan penyampaian khidmat awam serta mengurangkan kos operasi dan bertindak sebagai pemangkin dan perangsang keyakinan sektor swasta.

“Kerajaan perlu meningkatkan penggunaan teknologi ICT seperti awan awam dengan skala hiper, analisis canggih, mudah alih, sosial, kepintaran buatan, Internet Segalanya dan rantaian blok,” katanya.

Selain itu, persatuan itu berharap kerajaan meningkatkan insentif cukai korporat kepada syarikat yang memberi biasiswa untuk kursus sains komputer, kejuruteraan perisian serta kursus berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Peningkatan insentif cukai korporat perlu diberikan kepada syarikat yang melatih kakitangan dalam bidang teras kritikal,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 7:23am
d