bisnes

Homedec sasar jualan RM130 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (Homedec) dijangka menjana transaksi jualan lebih RM130 juta disokong kerjasama Pameran Dalaman REKA (RiX 2017).

Pameran julung kali diadakan itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Oktober.

Presiden CIS Network Sdn Bhd Datuk Vincent Lim berkata, pihaknya optimis jumlah itu dicapai sepanjang pameran berlangsung biarpun berdepan situasi ekonomi perlahan.

Katanya, tahun ini Homedec menyambut ulang tahun ke-15 dan pertama kali dianjurkan serentak dengan RiX 2017 bertemakan Rekaan Infiniti-Tiada Sempadan.

“Kami menyasarkan 120,000 pengunjung hadir sepanjang pameran berlangsung dan kali ini kita mempunyai 1,600 tapak pameran yang menampilkan pelbagai rekaan serta hiasan produk kediaman terkini.

“Sejak Homedec diperkenalkan pada 2003 kami sentiasa menampilkan kelainan dan menawarkan produk yang memenuhi permintaan orang ramai,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Homedec RiX 2017, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia Ar Chris Yap.

Pengunjung berpeluang menikmati penjimatan harga sehingga 70 peratus untuk produk rekaan hiasan dalaman dan kelengkapan rumah ditawarkan lebih 500 pempamer yang mengambil bahagian.

Pelbagai peraduan diadakan bagi pengunjung dengan hadiah menarik disediakan termasuk baucer tunai RM2,500.

Ruang pameran dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 8:00am
d