bisnes

Terengganu tertinggi

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Terengganu merekodkan jualan tertinggi RM5.3 juta berbanding negeri lain yang keseluruhannya mencecah RM39 juta sejak 2014 hingga Oktober ini.

Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim berkata, ia diikuti Pahang yang merekodkan jualan RM5.2 juta, Selangor RM4.4 juta dan Sarawak RM3.8 juta.

Beliau berkata, TUBE Terengganu menyediakan peluang pekerjaan baru tertinggi dengan lebih 512 pekerjaan sepanjang tiga tahun pelaksanaannya.

“Kumpulan pertama di Terengganu membabitkan 114 peserta mencatatkan nilai jualan terkumpul RM3.2 juta sepanjang menjalankan perniagaan selama setahun.

“Bagi kumpulan kedua iaitu TUBE 2.0, 50 peserta membuat pendaftaran perniagaan mereka dengan rekod jualan RM 1.7 juta pada 2016 manakala TUBE 3.0 mencatatkan jualan RM500,000,” katanya selepas merasmikan kedai Nor Gee Bakery milik peserta TUBE di Kampung Tok Dor, di sini, semalam.

Hafsah berkata, laporan rekod prestasi peserta TUBE 1.0, TUBE 2.0 dan TUBE 3.0 di seluruh negara mencatatkan prestasi baik iaitu 1,425 (99 peratus) daripada 1,435 peserta mendaftar dan menjalankan perniagaan.

“Peserta program ini mewujudkan 3,420 peluang pekerjaan baru dengan catatan hasil jualan terkumpul RM39.8 juta dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

“Pencapaian membanggakan ini menunjukkan hasil berterusan usahawan TUBE yang dibimbing kaunselor perniagaan SME Corp, pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri di bawah Majlis Sekratariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu Nawi Mohamad,” katanya.

Katanya, program TUBE yang memasuki kali keempat pelaksanaan dan peruntukan RM20 juta untuk menjayakan TUBE 4.0 di seluruh negara menerusi SME Corp.

“Bagi Terengganu saja, RM1.5 juta dalam bentuk geran disediakan untuk belia di Terengganu berbanding RM750,000 tahun lalu.

“Matlamat utama program adalah memupuk semangat keusahawanan, melatih belia daripada pekerja kepada pemilik perniagaan serta membentuk daya tahan dalam pengendalian perniagaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 8:02am
d