bisnes

Catat jualan RM200j

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Petaling Jaya : Cuckoo International (M) Sdn Bhd yakin mencatatkan jumlah jualan kasar bernilai sehingga RM200 juta menjelang akhir tahun ini didorong oleh penambahan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hoe Kian Choon berkata, setakat akhir September lalu, pihaknya melebihi sasaran jualan yang ditetapkan dengan jumlah RM132 juta.

“Sejak bertapak tiga tahun lalu, CUCKOO Malaysia berkembang sehingga menjadi jenama peneraju dalam segmen penapis air beralkali rendah, penapis udara serta periuk serba guna bertekanan di pasaran tempatan dengan pencapaian pelanggan mengagumkan iaitu 200,000 orang.

“Dari April hingga September lalu, CUCKOO berupaya melihat peningkatan pelanggan sehingga 100,000 dan dengan baki dua bulan terakhir ini, kami yakin mampu mencapai sehingga 250,000 pelanggan sebelum memasuki tahun baru,” katanya pada majlis sambutan ulangtahun CUCKOO ketiga, di sini.

Sempena ulang tahun ketiga berkenaan, CUCKOO turut melancarkan produk terbaru penapis air beralkali rendah, IRIS TOP yang didatangkan sempurna dengan panel sentuhan bersama pelan pemilikan, CUCKOO GOOOD PLAN.

CUCKOO GOOOD PLAN membolehkan setiap rakyat Malaysia memiliki penapis air terbaru itu serta menikmati air yang lebih berkualiti tinggi untuk kesihatan keluarga setiap hari dengan mudah.

IRIS TOP yang dijual pada harga RM3,999 atau bulanan serendah RM75 sebulan terbabit tampil dengan rekaan monokrom yang bergaya dan menyediakan air beralkali rendah dengan 13 tetapan suhu merangkumi panas, bersuhu bilik serta sejuk.

Pelan mampu milik ini termasuk penggantian penapis, perkhidmatan setiap empat bulan serta jaminan tujuh tahun secara percuma.

Berbeza daripada pelan pemilikan penapis air yang lain, CUCKOO GOOOD PLAN adalah fleksibel di mana pelanggan dibenarkan membuat pilihan amaun ansuran bulanan serta tempoh ansuran.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 8:31am
d