bisnes

Pasukan khas pastikan Bajet 2018 capai sasaran

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2018 dapat mencapai sasarannya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata, pasukan khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Katanya, beliau juga akan bertindak sebagai timbalan dalam pasukan khas terbabit yang diwujudkan untuk memastikan semua agensi kerajaan melaksanakan projek dan program yang dinyatakan dalam Bajet 2018 secepat mungkin seperti yang dijadualkan.

“Bajet 2018 adalah bajet komprehensif yang mana dapat menurunkan beban rakyat dan pada masa sama membantu ekonomi terus berkembang seperti yang disasarkan.

“Kami percaya menerusi pasukan khas ini semua program yang dibentangkan pada pengumuman Bajet 2018 dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya kepada media selepas Dialog Pasca Bajet 2018 yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia di sini, semalam.

Irwan berkata, pihaknya bukan saja melihat kepada jadual pelaksanaan, tetapi juga kepada kos yang terbabit.

“Kita akan pastikan kos secara berkesan dan minimum supaya impak lebih tinggi boleh dinikmati semua lapisan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pada sesi dialog terbabit beliau turut menjelaskan mengenai cadangan kadar cukai dikurangkan dua mata yang mana lebih kurang 261,000 pembayar dikecualikan daripada cukai pendapatan.

“Ini adalah sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna golongan individu berpendapatan sederhana dan bagi menangani kenaikan kos sara hidup. Oleh itu, dua mata peratusan diturunkan membabitkan kira-kira 261,000 pembayar cukai akan terkecuali daripada membayar cukai.

“Pengurangkan kadar cukai itu juga sebenarnya membabitkan jumlah sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:16am
d