bisnes

Buka 2,000 pasar mini

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Klang: 99 SpeedMart Sdn Bhd, pengendali rangkaian pasar mini 99 SpeedMart menyasarkan pembukaan 2,000 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusinya Lee Thiam Wah berkata, sasaran itu ditetapkan selepas syarikat mencatatkan peningkatan jumlah cawangan kepada 1,000 Ogos lalu daripada 100 pada 2008.

“Kami berhasrat membuka lebih banyak lagi pasar raya mini 99 SpeedMart di seluruh negara selepas bermula di Selangor dan berkembang di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang dan Sabah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, cawangan pasar mini itu kini boleh didapati di seluruh negara yang menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta persekitaran beli-belah pada harga berpatutan bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Menurutnya, 99 SpeedMart membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dan kini ia memiliki 10,000 pekerja di seluruh negara dengan lebih 90 peratus kakitangan adalah warga tempatan.

“Selain menawarkan jualan produk, kami mengikuti trend semasa dengan menawarkan perkhidmatan pembayaran elektronik bagi bil air, tambah nilai mudah alih dan pengambilan beli-belah atas talian di beberapa cawangan yang membolehkan pelanggan mengambil barang dibeli secara atas talian di cawangan 99 SpeedMart terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, 99 SpeedMart berhasrat meluaskan pasaran di luar negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ia mempunyai enam pusat pengeluaran di Semenanjung serta Sabah.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 8:24am
d