bisnes

Gian Musang King

Oleh Mohamad Hussin

Nanning, China: Permintaan tinggi durian Musang King dari Malaysia kini menjadi buruan rakyat negara ini sempena Festival Durian Malaysia 2017 (FDM 2017) yang diadakan di Yang City South Square Nanning, Guangxi, di sini, selama tiga hari mulai hari ini.

Festival dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mencetuskan citarasa dan permintaan terhadap durian Malaysia, sekali gus membuka pasaran lebih luas.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mansor Omar berkata, kerajaan Malaysia menunggu kelulusan dari Kerajaan China untuk mengeskport durian segar itu secara berterusan.

Beliau berkata, buat masa ini hanya produk durian sejuk beku saja yang dibenarkan dieksport ke China, selain produk seperti kerepek, kopi dan ais krim berasaskan durian.

“Kami berharap kerajaan China meluluskan segera eksport durian segar secepat mungkin yang mampu menggalakkan permintaan durian ke negara itu,” katanya sempena FDM 2017 di Naninng, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Musang King mampu menjadi sumber kekayaan baru negara.

“Bayangkan di Malaysia, Musang King dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram. Jika di Hong Kong durian itu dijual RM700 sekilogram berkemungkinan di China boleh dijual RM900 sekilogram lebih dua kali ganda harga di Malaysia,” katanya.

“Bagaimanapun kerajaan tidak menyasarkan jualan yang tinggi, sebaliknya akses pemasaran untuk ke China berjaya,” katanya.

Katanya, kerajaan menyasarkan nilai eksport pelbagai jenis durian RM100 juta menjelang akhir tahun ini di seluruh dunia.

Penyelaras FDM 2017 Datuk Robin Wong Hee Joo berkata, dianggarkan lebih 300,000 pengunjung akan menghadiri festival tiga hari yang diadakan pada cuti hujung minggu.

Idea program ini pertama kali dicadangkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada pertemuan dengan Naib Gabenor Wilayah Guangxi Zhuang November tahun lalu.

Sebanyak 250 jenama produk berasaskan durian membabitkan 50 usahawan Malaysia termasuk buah-buahan lain seperti nangka, manggis, nanas dan sarang burung walit dipamerkan dalam festival itu.

Sebanyak lima tan metrik durian Musang King (D197) dihantar ke Nanning untuk tujuan promosi dan jualan.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 6:10am
d