bisnes

Ulangi kejayaan

Oleh Ayusliza Azizan

Kuala Selangor: LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan pembangunan perbandaran terbaru, LBS Alam Perdana di Ijok di sini, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.7 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad Tan Sri Lim Hock San berkata, kejayaan LBS dalam membangunkan perbandaran Saujana Putra sebelum ini akan diulangi dalam LBS Perdana.

Beliau berkata, perbandaran baru itu dirancang bagi memenuhi keperluan pembeli rumah masa kini yang menginginkan kediaman mampu dimiliki, selamat dan persekitaran berasaskan komuniti.

“Selain perbandaran, LBS juga yakin dengan kombinasi pembangunan bertanah, pembangunan komersial dan pembangunan mampu milik di bawah program Rumah Selangorku (RSK) dan Perumahan Penjawat awam 1 Malaysia (PPA1M) yang dirancang untuk LBS Alam Perdana memenuhi keperluan pasaran masa kini.

“Dua pembangunan pertama perbandaran itu, Simfoni Perdana dan Irama Perdana menerima sambutan positif daripada pembeli,” katanya selepas melancarkan LBS Alam Perdana, di sini.

Tan berkata, berkeluasan 190 hektar (470 ekar), LBS Alam Perdana adalah rangkaian kejiranan yang terancang rapi dan dikelilingi kemudahan yang menggalakkan kehidupan komuniti.

Ciri utama perbandaran itu termasuk kawasan berpagar serta mempunyai pengawal keselamatan pada masa akan datang.

Katanya, Simfoni Perdana terdiri daripada 980 unit rumah bandar dua tingkat berharga RM368,000 dan setiap unit rumah bandar itu mempunyai kawasan binaan kasar 1,191 kaki persegi dan tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Irama Perdana yang terdiri daripada 673 unit rumah teres dua tingkat pada harga menarik bermula daripada RM479,000 dengan setiap unit mempunyai kawasan binaan kasar 1,208 kaki persegi yang dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air.

Beliau berkata, LBS Alam Perdana juga mempunyai taman lorong belakang, lorong laluan hijau yang menghubungkan setiap unit perumahan yang berperanan mengetengahkan alam dalam kehidupan seharian dan memberi motivasi kepada penduduk untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

‎“Terletak strategik di Barat Laut Lembah Klang, penduduk LBS Alam Perdana mempunyai akses yang mudah melalui Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan akan datang Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH),” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2017 @ 7:19am
d