bisnes

Landasan tuju RM22b

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Maybank berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran nilai transaksi RM22 bilion menerusi platform mudah alihnya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Mohd Suhail Amar Suresh berkata, tahun lalu Maybank merekodkan 467.7 juta transaksi dengan nilai RM16 bilion dan setakat ini kumpulan mencatatkan kira-kira RM19 bilion nilai transaksi melalui platform mudah alih.

Katanya, Maybank juga akan terus memberi fokus kepada pembangunan teknologi digital kumpulan disokong dengan pengenalan aplikasi baru yang dapat menambah baik pengalaman pengguna.

“Keyakinan pelanggan dalam platform digital semakin meningkat dan lebih 50 peratus akaun baru dibuka melalui saluran digital. Malah, sejak tiga tahun lalu dianggarkan 48 peratus menjadi pelanggan digital aktif Maybank sehingga kini.

“Jumlah dan nilai transaksi mudah alih terus berkembang lebih 50 peratus sejak 2015 dan kami percaya sasaran RM22 bilion dapat dicapai yang bakal menyaksikan pertumbuhan 95 peratus tahun ke tahun,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Pegawai Strateginya, Michael Foong.

Mohd Suhail berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada kebolehan Maybank dalam memenuhi kehendak pelanggan.

Menurutnya, beberapa ciri dan perkhidmatan menarik sedang dibangunkan dan akan diperkenalkan tidak lama lagi termasuk pembayaran menerusi pengecaman wajah dan suara.

“Sejak beberapa tahun, Maybank memberi perhatian dalam inovasi digital, bakat dan keselamatan yang membolehkan kumpulan menjadi peneraju dalam digital seperti program #MaybankFintech, perbankan mudah alih dan pindahan wang waktu perayaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 2:27am
d