bisnes

Portal YEN himpun dana RM296 juta

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Dana sebanyak RM296 juta dikumpul di bawah portal Youth Entreprenurial Network (YEN) yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu golongan muda menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, dana itu adalah antara kemudahan ditawarkan oleh portal YEN yang juga pusat sehenti maya bagi usahawan belia.

“Portal YEN akan memudahkan bakal usahawan dan usahawan belia membuat permohonan pembiayaan atau mendapatkan latihan,” katanya pada pelancaran portal YEN bersempena program Youth Biz-Talk, di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Datuk Chua Tee Yong dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad.

Program Youth Biz-Talk adalah platform bual bicara pertama diperkenalkan KBS untuk bakal usahawan dan usahawan belia berkongsi idea serta mendapatkan maklumat mengenai peluang dan potensi perniagaan.

Beliau berkata, jumlah dana terkumpul berdaftar di bawah portal YEN adalah RM296 juta sehingga Oktober lalu membabitkan kerjasama 19 rakan strategik yang menyediakan kemudahan pembiayaan dan latihan.

“Portal ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia benar-benar menjadi pusat sehenti menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, KBS mengadakan kerjasama dengan MATRADE menyediakan ruang tapak khas dikenali Pavilion Usahawan KBS bertujuan memberi pendedahan dan menyediakan platform bersepadu kepada syarikat belia Bumiputera terpilih untuk mengenal pasti peluang eksport serta menembusi pasaran antarabangsa.

Pavilion yang memiliki keluasan 100 meter kaki persegi itu akan memberi peluang kepada lapan syarikat terpilih mempamerkan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing selama setahun di Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) yang terletak di bangunan ibu pejabat MATRADE.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 12:42am
d