bisnes

Rancang teroka pasaran Indonesia, Thailand

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur : Vinsoon Group, pemilik rangkaian runcit jenama kasut Hypershoe berhasrat untuk meneroka pasaran luar negara terutama Indonesia dan Thailand dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Michael Lim Tiam Chye berkata, syarikat kini meninjau potensi perniagaan baru di negara terbabit selepas beroperasi 21 tahun dalam peruncitan kasut di pasaran tempatan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kami di samping terus mengukuhkan kedudukan di pasaran kasut tempatan melalui pembukaan 40 cawangan Hypershoe di Lembah Klang pada masa ini,” katanya pada Bisnes Metro, di sini.

Beliau berkata, syarikat turut berhasrat untuk meningkatkan jumlah cawangan daripada 40 ke 60 cawangan menjelang tahun depan dan menawarkan program francais bagi memberi peluang kepada mereka berminat untuk tempoh jangka panjang.

“Kami yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi kedudukan dan jenama Hypershoe di pasaran tempatan sekali gus menjadi batu loncatan meluaskan lagi pasaran ke luar negara pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Vinsoon Group yang turut menjalankan perniagaan hartanah menjangkakan projek hartanah terbarunya iaitu Pusat Dagangan Chow Kit (CKTC) mampu mencatatkan jualan seratus peratus menjelang hujung tahun ini.

“Kami yakin CKTC akan menjadikan Chow Kit sebagai tempat pemborong terbesar di Malaysia di mana 70 peratus hingga 80 peratus daripada CKTC akan terdiri daripada perniagaan borong manakala selebihnya adalah peruncit,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 12:49am
d