bisnes

MRCB umum peningkatan pendapatan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mengumumkan prestasi kewangan bagi sembilan bulan pertama tahun ini dengan peningkatan pendapatan sebanyak 75.5 peratus kepada RM2.4 bilion.

Keuntungan sebelum cukai mencatatkan peningkatan 5.6 peratus kepada RM115.8 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, bahagian Kejuruteraan, Pembinaan dan Alam Sekitar menyumbang pendapatan kukuh dengan peningkatan 236.7 peratus kepada RM1.61 bilion.

“Keuntungan operasi meningkat 365.7 peratus kepada RM46.5 juta dalam tempoh kewangan, dibantu oleh peningkatan margin operasi yang meningkat tahun ke tahun daripada 2.1 peratus kepada 2.9 peratus.

“Malah, nilai pesanan pembinaan MRCB setakat ini sebanyak RM6.3 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, bahagian Pembangunan Hartanah dan Pelaburan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 9.6 peratus kepada RM660.7 juta yang sebahagian besarnya disebabkan projek Sentral Residences di KL Sentral dan pembangunan Easton Burwood di Melbourne serta projek baru yang masih berada di peringkat awal pembinaan.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 7:42am
d