bisnes

Sasar jenama nombor satu

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Sharp Malaysia Sales & Service Company Sdn Bhd (SMSS) menyasarkan menjadi jenama nombor satu di negara ini selepas melancarkan barisan produk baru dan menarik yang memberi tumpuan teknologi lebih canggih.

Pengarah Urusannya, Tadashi Ohyama berkata, ia melalui produk terbaru yang memiliki teknologi ekosistem 8K serta Artificial Intelligence (AI) dan Internet Untuk Segalanya (IoT) bagi TV Sharp AQUOS 8K ultra berdefinisi tinggi (UHD), peti sejuk PELICAN, penghawa dingin serta pembersih udara.

“Perkembangan pesat negara ini sudah pasti mengubah pendapatan dan taraf hidup rakyat. Majoriti penduduk negara ini mahukan produk elektrik berkualiti tinggi dan inovatif.

“Walaupun Sharp adalah perusahaan yang berusia 100 tahun, ia terus berinovasi dengan ikhlas dan kreatif. Kami bersedia melancarkan dan berkongsi teknologi terkini bersama pengguna,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran produk baru jenama itu, semalam.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SMSS Tai Jeng Wu, Ketua Pengarah Urusan Yoshiro Hashimoto, Pengarah Urusan CEP Sales Tok Sang Man serta Pengurus Besar Jabatan Pemasaran CEP Lau Siong Gap.

Tadashi berkata, TV Sharp AQUOS menggunakan teknologi 8K UHD mempunyai resolusi tertinggi iaitu 16 kali lebih tinggi berbanding teknologi 2K. Teknologi baru 8K itu didatangkan dengan dua saiz iaitu 70 dan 80 inci.

Beliau berkata, dengan teknologi terbaru berkenaan, ia mampu memaparkan imej lebih jelas dan seakan realiti malah turut berupaya melihat imej kecil yang tidak boleh dilihat menerusi televisyen generasi sebelum ini.

Selain itu, katanya, model baru penghawa dingin dan pembersih udara dengan fungsi IoT yang boleh dikendalikan dengan sambungan Internet menggunakan telefon pintar walaupun berada di luar rumah.

Menurutnya, dengan IoT ia memberi kesenangan kepada pengguna dengan memberi banyak kemudahan antaranya memaklumkan mengenai keadaan cuaca, status udara serta penggunaan tenaga yang pasti bertindak sebagai pembantu terbaik.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 3:55am
d