bisnes

FGV rancang beli tanah di Indonesia

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) merancang untuk membeli tanah khususnya yang masih belum diteroka di Kalimantan, Indonesia sebagai langkah untuk memperkukuh segmen perladangan syarikat pada masa akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata, usaha berkenaan adalah selaras dengan usaha untuk meningkatkan pengeluaran kelapa sawit di samping memperkukuhkan perniagaan syarikat.

Beliau berkata, pembelian tanah ladang di Kalimantan itu dijangka akan dibiayai hasil dari pelupusan pegangan saham AXA Affin yang dijangka selesai pada hujung tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, kita sentiasa berusaha untuk memperkukuh kedudukan dan kehadiran dalam industri perladangan kelapa sawit. Hasrat untuk membeli tanah di Kalimantan adalah antara inisiatif yang sedang dijalankan.

“Setakat ini kami masih dalam proses perbincangan mengenai luas tanah, harga dan beberapa isu sebelum ia dimuktamadkan bagi peringkat seterusnya,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku ketiga FGV di sini, semalam.

FGV mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM170 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, berbanding RM44 juta pada tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh sektor perladangan serta logistik dan lain-lain (LO).

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 3:22am
d