bisnes

Ekovest cadang susun semula segmen perniagaan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Ekovest Bhd bercadang untuk menyusun semula segmen perniagaannya bagi memperoleh sumbangan yang lebih seimbang kepada hasil kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, kumpulan itu berazam untuk meningkatkan sumbangan segmen hartanah kepada 30 peratus daripada 10 hingga 15 peratus ketika ini.

Syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu melakukan operasi perniagaan merentasi tiga segmen iaitu pembinaan, pembangunan hartanah dan operasi tol.

“Kami akan terus memberi perhatian ke atas segmen pembinaan pada tahun depan kerana kami mendapat kerja bernilai RM5 bilion yang akan kekal positif dan mampu memberikan jaminan pendapatan untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, baru-baru ini.

Lim bagaimanapun, berkata, melangkah ke hadapan, kumpulan itu merancang untuk mengurangkan sumbangan bahagian pembinaan kepada 40 peratus daripada 70 peratus.

Bagi operasi tol dan segmen lain yang kini berjumlah 15-20 peratus, Lim berkata, Ekovest sedang mencari untuk meningkatkan bahagian kepada kira-kira 30 peratus.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 2:55am
d