bisnes

12,640 rumah PR1MA sudah dijual

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Sejumlah 12,640 unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan nilai pembangunan kasar RM3.16 bilion sudah dijual sehingga 15 November lalu.

PR1MA dalam kenyataan berkata, jumlah berkenaan mewakili lebih 50 peratus daripada 25,132 rumah PR1MA yang dibuka untuk dijual pada masa ini.

“Dakwaan bahawa bilangan unit yang kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dan penjualan mengelirukan pembaca.

“Tidak semua 141,661 unit yang sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan dibuka untuk jualan dan adalah tidak benar untuk menyimpulkan bahawa kurang daripada 10 peratus unit PR1MA dijual sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, sebelum menjual rumah, pihaknya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa dan bukan semua rumah yang sedang dalam pembinaan boleh dijual.

“Hakikatnya, sambutan ke atas projek PR1MA sangat menggalakkan di lokasi utama, sebagai contoh, PR1MA @ Jalan Jubilee di Bukit Bintang yang terlebih langganan sebanyak 27 kali dengan 224 unit atau 42 peratus daripada 542 unit untuk jualan, dibeli dalam tempoh tiga hari pada hujung minggu lalu.

“Harga yang berpatutan ini membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah di lokasi utama, betul-betul di tengah pusat bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu menegaskan bahawa PR1MA komited menyediakan rumah dengan gaya hidup dan konsep komuniti untuk pembeli rumah dari kumpulan berpendapatan sederhana (M40).

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 2:59am
d