bisnes

Mamee, Shinsegae Food jalin kerjasama

Oleh Shaiffulazhar Misri

Melaka: Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd (Mamee) bekerjasama dengan pembekal makanan terkemuka dari Korea Selatan, Shinsegae Food dalam memenuhi permintaan terhadap makanan halal di negara Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee, Tan Sri Pang Tee Chew berkata, menerusi penjenamaan Shinsegae Mamee Sdn Bhd, kedua-dua syarikat itu akan menjadi pembekal makanan dan minuman halal berkualiti tinggi.

“Hasil penelitian kami, permintaan terhadap makanan Korea di negara Asia seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand adalah amat baik. Kerjasama ini akan dikembangkan ke peringkat global dengan permulaan adalah dalam pasaran Asia.

“Produk dikeluarkan nanti memenuhi standard dan piawaian status halal dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Mamee dan Shinsegae Food di Pejabat Operasi Mamee Double-Decker di Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama, Pengurus Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan, Ahmad Syukry Ibrahim.

Sementara itu, Presiden Shinsegae Food, Choi Sung Jei berkata, Mamee-Double Decker adalah jenama popular dan pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang menjalinkan kerjasama dengan syarikat itu.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 3:30am
d