bisnes

Buka pusat sehenti dua tahun lagi

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Johor Bahru: Utama Tyre, syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkaitan tayar berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka pusat sehenti berkaitan perkhidmatan kenderaan dua tahun lagi.

Pengurusnya Othman Basiron berkata, pusat sehenti yang bakal dibuka di sekitar bandar raya itu menyediakan lebih banyak perkhidmatan berbanding bengkel sedia ada seperti cat kereta, penukaran tayar, menyenggara dan membaiki kenderaan.

“Bermula dengan bengkel kecil di Kampung Melayu Majidee pada 1992, kini kami mempunyai tiga cawangan bengkel termasuk di Bandar Baru Uda dan Pusat Bandar Tampoi.

“Selain permintaan berterusan daripada pelanggan, industri automotif yang berkembang pesat menjadi faktor kami yakin terhadap pasaran ini meskipun berdepan kelembapan ekonomi,” katanya di bengkel Utama Tyre di Bandar Baru Uda.

Sementara itu, isterinya merangkap Pengurus Kewangan Sarimawati Kassim berkata, dia dan suami mempelajari ilmu pengetahuan mengenai industri yang diceburi bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing mengikut aliran semasa.

“Dalam menguruskan perniagaan, kita perlu mementingkan kualiti perkhidmatan. Selain jujur dan pandai mengambil hati pelanggan, kita harus menerima pandangan mereka,” katanya.

Othman dan Sarimawati adalahenerima pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Dengan jumlah pembiayaan RM200,000 dan RM300,000 masing-masing diterima pada 2011 dan tahun ini, Utama Tyre kini melebarkan empayar perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Sarimawati berkata, dana diperoleh digunakan untuk pengembangan perniagaan seperti membesarkan stor barang dan membeli lot kedai.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 3:14am
d