bisnes

Modal kerja serta-merta

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menandatangani perjanjian dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi menawarkan kemudahan pembiayaan Islam bernilai RM500 juta kepada vendor TM di bawah Skim Pembiayaan Vendor TM.

Pembiayaan itu bukan saja memberi manfaat kepada 1,000 vendor berskala besar dan sederhana, malah kepada pengilang dan pelbagai kontraktor yang berdaftar dengan TM.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pembiayaan itu meningkatkan ekosistem vendor TM secara keseluruhan melalui peningkatan kecekapan dan skala ekonomi.

“Skim itu adalah inisiatif terkini MBSB menerokai segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang selari dengan hasrat membantu kerajaan meningkatkan pasaran PKS tempatan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara MBSB dan TM di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM iaitu Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, Pengarah Eksekutif/Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Bazlan Osman dan Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Korporat MBSB Datuk Nor Azam M Taib.

Melalui skim pembiayaan itu, vendor TM berpeluang menikmati kadar kompetitif berdasarkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan boleh memohon kemudahan kewangan pada peringkat Letter of Intent (LOI) dalam proses perbelanjaan.

Nilai keseluruhan kewangan di bawah skim istimewa ini sehingga 80 peratus daripada nilai kontrak yang ditawarkan TM.

Bazlan berkata, skim itu membolehkan pihaknya memberi kemudahan kepada vendor TM dan kontraktor mendapatkan modal kerja serta-merta dan memberi peluang kepada mereka lebih fokus kepada operasi perniagaan dan mempercepatkan program transformasi masing-masing.

“Kerjasama ini adalah inisiatif kami dalam membina kapasiti dan mengekalkan ekosistem vendor Bumiputera sekali gus menjadi Juara Korporat Bumiputera di bawah Program Pembangunan Vendor Bumiputera TM,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 3:15am
d